Oleh: Abu Hamzah


Semua kita sedia tahu akan keadaan dan nasib kebanyakan negara-negara Dunia Islam hari ini. Tidak perlu pandang jauh, lihat sahaja pada negara kita Malaysia. Ya, memang rata- rata, dunia menganggap Malaysia sebagai antara negara Islam yang sedang membangun dari aspek ekonomi berbanding kebanyakan negara-negara dalam dunia Islam yang lain. Alhamdulillah. Namun, jika kita jujur terhadap diri sendiri, dan menganalisa sejauh mana majunya umat Islam di negara kita hasil kekuatan ekonomi, saya pasti, secara kesimpulan, ramai akan membuat konklusi “ tidak memuaskan”.


Masakan tidak. Pasaraya-pasaraya umat Islam sangat sedikit. Yang ada pula, kurang mendapat sambutan, hatta dari umat Islam sendiri. Apatah lagi syarikat-syarikat usahawan, sama ada yang kecil mahupun yang besar. Sedangkan dalam populasi, KITA majoriti. Banyak faktor boleh disebut. Antaranya, saingan kuat dari ”orang lain.” Kemudian, sikap umat Islam itu sendiri. Dalam banyak hal. Kita tiada perasaan untuk mengutamakan produk umat Islam berbanding produk-produk ’orang lain.’ Sekadar contoh, jika ada kopi berjenama ’Ahmad Cafe’, dan ’Dutch Cafe’, kita lebih selesa membeli yang ’ada nama orang putih sikit.’ Boleh jadi atas faktor kualiti, dan boleh jadi, atas faktor – ketidakpekaan.


Pengeluar-pengeluar Islam juga perlu diakui, kurang PEKA tentang kepentingan ’quality control’ produk-produk mereka. Apatah lagi faktor kurangnya pengiklanan dan promosi. Pernah seorang guru saya menyebut, ’orang kita’ modul perniagaannya 90% untuk pengeluaran, 10% untuk pengiklanan, sedangkan di Barat, hanya 10% untuk pengeluaran, sedangkan jumlah yang lebih banyak digunakan untuk pengiklanan dan R&D. Sejauh mana tepat pandangan beliau, saya serahkan kepada yang lebih arif. Saya bukan ahli ekonomi atau keusahawanan, namun, hasil pembacaan dan pergaulan, dapat saya fahami satu perkara, sikap keusahawanan ’orang kita’ sangat lemah


Lihat pula di penjuru lain dunia Islam. Di Arab contohnya, penggantungan ekonomi kepada Barat sangat tinggi, sedangkan mereka mempunyai banyak hasil-hasil sumber asli. Meskipun dengan kekayaan minyak yang begitu banyak, kebanyakan negara Arab mempunyai KDNK ( Keluaran Dalam Negara Kasar ) yang sangat rendah. Kerana apa? Seperti kata sahabat Arab saya, “ Because we eat our money, we don’t invest our money.” Saya risau memikirkan apa akan jadi sekirana telaga-telaga minyak di Arab menjadi kering suatu hari. Serah pada Allah sahajalah..


Keadaan rantau Timur Tengah Arab ini mendapat kritikan hebat dua tokoh umat Islam terkenal, Abu Hassan Ali al-Nadwi dan Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi.

Kata Abu Hassan Ali al-Nadwi dalam suatu kritikan tajam beliau terhadap realiti ekonomi dunia Islam:


“ Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain”. (Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah)

Ini pula kata-lata pedas Dr Yusuf al-Qaradawi:

“Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah)

(Sumber: Bersama Membangunkan Ekonomi Umat Islam, Tulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin – sila klik )

Lihat pula klip berikut..




Setelah memperkatakan yang di atas, kita terima dan akui kelemahan umat Islam dan dunia Islam hari ini dari sudut ekonomi. Namun, perlu diingat ekonomi Barat, meskipun jauh lebih maju, tidak terlepas juga daripada keburukan-keburukan mereka. Hari ini ada oang berkata, jika kita hendak maju, kita hendaklah mengambil contoh dari Barat. Kata mereka, umat Islam hari ini lemah kerana masih kononnya berpegang kepada ‘teori teologi‘ al-Qur’an dan al-Sunnah. Saya katakan tidak.


Dahulu, orang-orang Arab adalah orang pertama yang menghasilkan Kopi dan kemudian memperkenalkannya kepada Barat. Tapi, setelah itu, Barat menjadi pengeluar Kopi yang paling utama di dunia. Namun, dalam prosesnya, sejarah merakamkan bagaimana kuasa-kuasa Imperiál Barat membuka ladang-ladang Kopi di Afrika dan seterusnya memperhambakan orang-orang kulit hitam Afrika di tanah mereka sendiri. Kopi hanya satu contoh dari pelbagai contoh-contoh lain manipulasi ekonomi oleh Barat. Untuk orang yang memburukkan ‘teori-teori teologi‘ kita, kita katakan, al-Qur’an dan Hadith kita tidak akan sesekali membenarkan kita berbuat sebegitu rupa. Akibat manipulasi dahulu, bangsa kulit hitam Afrika, sehingga hari ini seolah-olah menjadi manusia kelas ‘dunia ketiga,’ istilah yang mereka sendiri gunakan.


Lihat klip petikan berikut:



Setengah orang berkata, sejarah ini ibarat pentas bermain wayang, cerita-cerita lampau dihurai, dipanjang-panjangkan.

Bila tamat…diulang…dan diulang… ulang kembali…

Itulah sejarah…

( Dipetik dari puisi nukilan Syed Naquib al-Attas )


Terpulang untuk kita mengambil pengajaran daripadanya...