Oleh: Abu Hamzah
Perasaan saya bercampur baur ketika menonton klip video di atas. Bercampur antara sedih, marah, kecewa dan kesal. Malu pun ada.
Apa yang berlaku di Shah Alam kelmarin adalah sesuatu yang tidak Islamik. Apa yang berlaku di Shah Alam kelmarin adalah sesuatu yang sepatutnya memalukan umat Islam yang benar-benar menyayangi agamanya.
Islam agama yang mengajar umatnya untuk adil kepada semua, samada musuh mahu pun kawan. Samada Muslim ataupun bukan.
"Wahai orang-orang ang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
(al-Maidah : 8)
Ya, kita boleh memahami kenapa adanya bantahan tersebut. Namun, apa yang dipersoalkan ialah cara bantahan tersebut dibuat. Kenapa mereka perlu turun ke tahap yang begitu rendah sekali?!
Untuk rakan-rakan bukan Muslim, saya berasa sangat perlu untuk saya menerangkan kembali kepada anda semua, tindakan penduduk Syeksen 23 tersebut bukan tindakan yang Islamik. Islam melarang tindakan seperti itu. Di dalam al-Quran kami, Allah menyebut:
" Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan "
(al-An'am : 108)
Sepatutnya, mereka semua memahami signifikasi lembu kepada agama Hindu setelah begitu lama hidup di negara berbilang kaum seperti Malaysia. Apalah salah lembu tersebut sehingga perlu dihina sedemikian rupa? Bagaimana tergamak seorang yang waras akalnya bertindak demikian terhadap haiwan ciptaan Yang Maha Esa yang saban hari kita jadikan makanan kita?
Tindakan membawa kepala lembu tersebut saya katakan agak pelik. Agak misteri. Hatta, di akhir klip tersebut, apabila di wawancara, jurucakap tersebut sendiri kelihatan serba salah.
Selalunya tindakan-tindakan luar biasa seperti ini ada dalang disebaliknya. Siapa dalangnya bukan urusan saya dalam posting ini. Pandangan saya, ada juga 'bau politik' dalam isu tersebut. Jika benar ada dalang politik di sebalik semua ini, dukacita. Sekali lagi politik kita dicemari unsur perkauman seperti ini. Sepatutnya, sudah tiba masa politik kita keluar dan bersih dari sikap radikalisme perkauman seperti ini.
Suka saya sekiranya ada wakil penduduk Syeksen 23 keluar memberikan kenyataan memohon maaf atas tindakan tersebut. Demikian juga, ada baiknya, pihak-pihak autoriti agama seperti JAKIM, Majlis Fatwa dan Jabatan Mufti mengeluarkan kenyataan untuk menerangan posisi Islam yang sebenar berkaitan isu ini. Kita kena mengakui kesalahan yang dibuat dan kita perlu membersihkan nama Islam. Mungkin dengan itu, ia akan melembutkan hati orang bukan Islam yang marah dan seterusnya menjadikan mereka tidak lagi salah faham terhadap Islam. Mungkin juga akan menjadikan mereka lebih dekat dengan Islam.
2 comments:
Saya bersetuju apa yang saudara tulis. 50 'ekor' yg terlibat dalam demonstrasi tu menyalahgunakan nama agama.. Mulut melaung 'Allah hu akbar', kaki buat sesuatu yg memalukan agama sendiri dan menghina agama orang lain.
Apa yg Khairy kata betul, kalau ada orang bukan Islam yg bawa al-Quran, buang di lantai dan pijak kerana nak membantah pembinaan masjid di kawasan yg majoritinya bukan Islam yang biasanya berlaku, apa yg orang Islam akan rasa.
Tengoklah di Kelantan, patung Buddha yang terbesar di Asia Tenggara terletak di negeri yang mempunyai penduduk Melayu Islam sebanyak 95% dan diperintah oleh parti pembangkang Islam. Tapi tak pernah pun saya dengar Tuk Guru nak runtuhkan patung Buddha tu, tak pernah pun saya dengar ada orang Melayu di sana yang membawa kepala lembu atau kepala apa2 ke Bangunan Kerajaan Kelantan. Entah sampai bila Malaysia akan benar2 saling menghormati antara kaum dan agama.
salam, saya bersetuju dgn penulis.. sudah jelas dalam al-quran ttg perkara ini, maka, beremosilah dgn cara yg dianjurkan quran.. mengenangkan peristiwa ini berlaku dlm bulan yg mulia.. amat menyedihkan saya.. salam kemerdekaan..
Post a Comment