sawah adi


Nasi makanan asasi orang Asia. Sepinggan nasi yang kita telan 3 kali sehari tu bukan calang-calang nasi. Macam-macam onak dan liku telah ditempuh oleh butir-butir nasi itu sehingga mereka berjaya menempatkan diri dalam pinggan kita. Jom kita tengok sikit cerita nasi, beras atau padi ni.


Untuk dapatkan nasi yang TERBAIK, si penanam padi perlu cari benih-benih padi yang terbaik. Benih-benih yang terbaik dikenal pasti, disatukan dalam tapak semaian lalu dibesarkan sampai lah ala-ala sejengkal tingginya. Dalam proses semaian tadi, si penanam padi ni kena jaga serba-serbi benih-benih padi. Air, oksigen, suhu, darjah sinaran matahari, semua di ambil kira. Apa saja keperluan benih-benih ni diberikan dengan sempurna. Segala kasih sayang dicurahkan untuk benih-benih padi tersebut, dengan harapan mereka inilah yang akan membesar menjadi pokok padi yang hebat.


Namun, benih tetap benih. Dalam proses menyemai benih-benih yang terpilih tadi, masih ada juga benih-benih yang tak menjadi. Ada yang diserang spesis kulat Lalai sp., ada yang tak bercambah langsung dan macam-macam masalah. Maka, yang tak menjadi terpaksa dibiarkan. Yang menjadi akan meneruskan proses seterusnya.


Benih-benih padi yang terpilih dan menjadi tadi seterusnya dipindahkan pula ke sawah tarbiyyah nan luas. Di sana, mereka ditanam dan dijaga rapi. Di sana mereka membesar bersama-sama menjadi pokok-pokok padi yang menghijau. Para pesawah menjaga mereka siang dan malam agar tumbesaran mereka terpelihara, dengan harapan, mereka akan menjadi beras-beras yang hebat. Baja cap Ilmu ditabur secara berkala. Air Fikrah dibekalkan dengan mencukupi. Pokok-pokok padi yang hampir tumbang dikukuhkan kembali ke dalam tanah. Begitulah terjaganya mereka tatkala membesar.


Di sawah tarbiyyah yang luas terbentang ini, manfaat pembesaran mereka turut dirasai oleh makhluk-makhluk lain. Si ikan puyu yang tiada kena-mengena dengan pokok padi merasai manfaat berada di celah-celah. Sang belut tak ketinggalan mendiami lubang-lubang sawah. Si siput gondang berasa aman bertenggek di batang-batang padi. Si kodok pula tenteram menetaskan telur-telurnya menjadi berudu bagi meneruskan kemandirian spesisnya. Alam juga tidak ketinggalan merasai oksigen yang dihembuskan oleh liang-liang stoma daun padi. Begitulah banyaknya manfaat pokok-pokok padi terhadap ekosistem sejagat.


nasi


Namun, pokok padi tetap pokok padi. Setelah pokok padi menguning lantas menumbuhkan butir-butir buah padi, datang pula cabaran-cabaran menggugat tumbesaran. Dari bawah, tikus-tikus spesis Jahiliyah sp. mencari-cari peluang memakan buah-buah padi yang sudah berhasil. Dari atas, hambatan-hambatan dari burung spesis Harta sp. dan Pangkat sp. sentiasa meletakkan padi dalam bahaya. Banjir futur yang kadang-kadang melanda melemahkan kekuatan pokok padi. Tak kurang juga serangan serangga perosak spesis Syaitan sp. dan virus ukhuwah sp. yang perlahan-lahan merosakkan pokok padi. Rerumput dan lalang yang sentiasa nak bersaing, memburukkan lagi keadaan. Banyak pokok padi yang rosak, mati, dimakan burung, tikus dan dihanyutkan banjir. Yang tinggal hanyalah pokok-pokok padi yang kuat dan terbaik antara yang terbaik. Merekalah yang meneruskan legasi sawah padi ini.


Setelah padi-padi ini matang dan bersedia, tibalah masa mereka dituai. Rijal-rijal padi yang dituai ini digredkan pula mengikut kualiti mereka. Sebahagian mereka ada yang dihantar ke kedai-kedai, pasar-pasar dan kompleks membeli-belah untuk dijual. Segahagian yang lebih tinggi mutunya diimport ke tempat-tempat lain. Lebih tinggi gred mereka, lebih mahal harganya. Begitulah kesudahan mereka, yang terbaik antara yang terbaik. Memberikan manfaat dan kebaikan kepada seluruh alam.


Jom jadi nasi basmathi!