Bagaimanakah untuk berdakwah dengan baik? Itulah persoalan yang sering berlegar dalam kotak pemikiran semua da’ie. Mana tidaknya, kadang-kadang apa sahaja yang dilakukan tidak menjadi mengundang kepada rasa putus asa dan kecewa. Tambah menyedihkan lagi, ada yang menarik diri dari terus berdakwah kerana merasakan apa yang dilakukan sia-sia disebabkan tidak membawa kejayaan. Mungkin mereka terlupa bahawa hanya Allah yang mampu memberi hidayah bukan kita yang merupakan hambanya yang lemah.

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam).

Al-Qasas(28):56

Berbalik semula kepada persoalan mengenai amal dakwah yang muntij, sebenarnya caranya telah diberi oleh Allah kepada kita dalam surah An-Nahl ayat ke-125.

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.

Sebanyak 3 ‘guidelines’ yang boleh didapati di dalam ayat tersebut

1. Menyeru manusia dengan hikmah

2. Menyeru dengan pengajaran yang baik

3. Berdebat dengan cara yang baik

Menyeru dengan hikmah.

Apakah itu hikmah? Hikmah atau dalam bahasa inggeris, ‘wisdom’ adalah berilmu dan mampu menggunakan ilmu tersebut dengan pertimbangan yang betul.

Jadi untuk berdakwah dengan muntij, adalah amat penting bagi seorang da’ie untuk memiliki ilmu dan mampu untuk mengaplikasi, mengolah dan menggunakannya dengan baik pada waktu dan keadaan yang sesuai. Dalam erti kata yang lain, kita perlu bijak dan kreatif.

Contohnya dapat kita lihat melalui kisah Nabi Ibrahim A.S dimana baginda telah memecahkan semua kecuali satu berhala yang disembah kaumnya semasa mereka keluar dari bandar mereka. Setelah mengetahui tentang perkara yang berlaku, kaum nabi Ibrahim menyoal baginda mengenai kejadian itu. Lalu baginda menyuruh mereka menanyakan persoalan itu kepada berhala yang masih tinggal. Ini telah menyedarkan kaumnya tentang kepalsuan kepercayaan mereka namun sifat akur telah menyebabkan mereka masih tidak mahu mengakui kesalahan mereka itu.

Menyeru dengan pengajaran yang baik

Para da’ie juga harus menunjukan contoh, perwatakan dan peribadi yang baik dan mulia. Ini dapat meningkatkan kepercayaan dan rasa hormat orang lain terhadap diri kita seterusnya akan memudahkan usaha dakwah kita inshaAllah. Elakkan berkompromi mengenai apa sahaja perkara yang bercanggah dengan Islam kerana ini dapat membawa fitnah bukan sahaja kepada diri kita bahkan Islam sendiri. Janganlah kerana ingin membela kesalahan kita atau memenangi hati segolongan insan, kita sanggup mengiakan apa yang salah disisi agama lalu mengadai maruah agama dan para pendakwah lain. Kita perlu ingat bahawasanya apa sahaja yang kita lakukan akan memberi impak kepada Islam kerana selaku pendakwah, kita merupakan pendokong testimoni agama di dalam masyarakat. Busuk kita, busuklah agama!

Berdebat dengan cara yang baik.

Ini adalah sangat penting memandangkan kebelakangan ini, maruah agama kerap tercemar. Kita perlu mengelakan emosi menguasai diri kerana ia akan mengundang keburukan. Sebarang persoalan, salah faham dan pandangan yang salah mengenai agama tidak kiralah samada ia dari seorang muslim atau non-muslim hendaklah didampingi secara berhemah, bijak, dengan alasan yang tepat dan lemah-lembut seperti arahan Allah kepada nabi Musa dalam surah Taha(20) ayat ke-44.

Elakkan mencerca mana-mana pihak atau agama kerana sesungguhnya mereka juga akan melakukan perkara yang sama dan ini akan menjatuhkan maruah diri dan agama.

Realiti masa kini

Sangat menyedihkan apabila kita melihat keadaan masyarakat Islam pada masa kini. Islam dikaitkan dengan pelbagai fitnah yakni kemunduran, kemiskinan, keganasan, masalah sosial dan lain-lain lagi. Bagi yang bukan beragama islam mereka beraggapan semua ini berlaku disebabkan agama Islam itu sendiri namun bagi kita yang beragama Islam mahu atau tidak kita perlu tahu dan menerima bahawa fitnah yang melanda ini berpunca dari umat islam sendiri. Selagi kita tidak membaiki umat ini dari dalam, selagi itu kita akan sukar untuk berdakwah kepada yang tidak beragama Islam.

‘Tiada siapa yang akan membeli kereta berjenama A kerana mereka mendengar khabar tentang keburukan kereta jenama A dan kerap melihatnya tersadai ditepi-tepi jalan raya dan lebuh raya kerana rosak atau menghadapi kemalangan. Tanpa mereka sedari sebenarnya pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kereta berjenama A adalah mereka yang tidak tahu memandu, tidak memiliki lesen memandu ataupun mungkin mereka yang tidak tahu bahawa kereta memerlukan petrol untuk berfungsi.’

Pengalaman saya di Mesir juga menceritakan masalah yang sama dalam umat Islam. Negara yang besar dan kaya dengan sumber ekonomi seperti petroleum dan pusat-pusat tarikan pelancong itu sepatutnya maju dan nasib rakyatnya terbela. Namun apa yang dapat saya perhatikan adalah yang sebaliknya. Daripada hospital hinggakan ke lorong-lorong jalan, kebanyakannya kotor penuh dengan sampah sarap langsung tidak melambangkan identiti sebuah Negara Islam. Kemiskinan bukan merupakan perkara yang ganjil disana tetapi adalah sesuatu yang biasa. Masjid tidak dinafikan berselerakan di merata-rata tetapi jemaah yang bersolat di dalamnya adalah disebaliknya. Bukan ingin menceritakan keburukan mana-mana pihak tapi cuma ingin mengambarkan realitinya.Di Malaysia dan Eropah pula, masalah sosial membelenggu umat islam. Kita dikaitkan dengan pelbagai keburukan seperti maksiat, rempit, dadah, arak dan lain-lain. Bagaimana kita ingin mengajak orang lain menerima Islam dan mengikut syriatnya, padahal umat islam sendiri melanggarnya.

Disinilah para da’ie memainkan peranan. Keperluan berdakwah dan membetulkan umat dari akar umbi masyarakat adalah sangat penting jika kita ingin melihat Islam menjadi ‘mainstream’ dunia semasa seperti beberapa ratus tahun yang lalu. Tidak dinafikan kita mungkin masih jauh dari destinasi yang kita impikan, namun janganlah berputus asa kerana sesungguhnya kejayaan agama ini telah Allah janjikan. Kita cuma perlu bekerja dan berusaha berdakwah disamping bertawakkal kepada Allah. Barang siapa yang menolong agama Allah nescaya Allah akan menolongnya dan meneguhkan kedudukannya inshaAllah.

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Muhammad(47):7