Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksanaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan.

Oleh sebab itulah aku hidup di bawah bayangan al-Qur’an dengan hati yang tenang tenteram dan di sana aku melihat tangan kekuasaan Allah mengendalikan segala peristiwa dan segala perkara. Di sana aku hidup di bawah naungan dan pemeliharaan Allah dan aku benar-benar merasa kesan-kesan sifatNya yang positif dan aktif.

-petikan Mukaddimah Fi Zilal al-Qur'an oleh Sayid Qutb-


Bila baca sedutan kata-kata Sayid Qutb kat atas ni, terngiang-ngiang kata-kata orang Jemaah Tabligh yang selalu didengar dulu-dulu.

"Bila kita makan, bukan makanan yang bagi tuan-tuan kenyang. Allah yang bagi kenyang. Bukan kipas kat dinding tu yang bagi sejuk tuan-tuan. Allah yang bagi tuan-tuan sejuk. Ubat yang kita makan tak boleh bagi sihat. Allah yang bagi tuan-tuan sihat."

Sangat betul. Sangat jitu sekali kata-kata ini. Jelas. Tapi jarang sekali manusia terkesan olehnya.

Kalau diikutkan logik akal atau orang kata hukum alam -dalam bahasa moden dipanggil sains- segala perkara berlaku dengan sebab. Sebab menatijahkan kesan atau natijah. Cuba kita tengok sifir di bawah:

Sebab -> Kesan
Makan -> Kenyang
Lari -> Penat
Impuls -> Action Potential
NaOH + HCl -> NaCl + H2O
Study -> Pass Exam


Kalau ikut pemikiran logika, benarlah sifir kat atas ni. Kalau seorang budak makan tapi tak kenyang, pelik. Kalau orang lari tak penat-penat, boleh masuk Buletin Utama. Kalau orang study bagai nak rak tapi tak pass, frust menonggeng lah jawabnya.

Tapi bagi seorang yang beraqidah Islam, beriman dengan Qadar Allah (orang Melayu panggil takdir), sifir ini ada betulnya tapi bukanlah benar secara hakikatnya. Benar, Allah menetapkan sunnatullah alam ini dengan hukum-hukum tertentu. Dari situlah wujudnya ilmu Sains. Akan tetapi, Allah Maha Berkuasa mengubah atau menetapkan segalanya. Bukanlah impuls itu yang menyebabkan 'action potential' tapi Allah yang menetapkan 'Sodium channel' terbuka lantas menyebabkan 'action potential'. Setiap perjalanan ion dan molecule ini segalanya dibawah kawalan Allah. Tidak mustahil bagi Allah kalau Dia nak menetapkan sebaliknya.

Begitu juga dengan usaha, tindakan, peristiwa yang dilakukan manusia. Tiada bezanya. Makannya seorang manusia tidak semestinya memberikan kekenyangan. Tidurnya manusia tidak semestinya mendatangkan kesegaran. Bekerjanya manusia setiap hari tidak semestinya mendatangkan rezeki atau gaji bulanannya. Belajarnya manusia setiap jam tidak semestinya mendatangkan ilmu atau kejayaan dalam peperiksaan. Menuntut di sekolah perubatan tak semestinya menjadikan manusia seorang doktor kelak.

Segala-galanya adalah ketetapan Allah. Manusia tanggungjawabnya adalah menunaikan segala yang diperintahkan. Allah yang perintahkan manusia supaya makan. Allah yang perintahkan manusia supaya tidur. Allah yang perintahkan manusia supaya mencari rezeki. Allah yang perintahkan manusia supaya belajar. Allah yang perintahkan manusia supaya berusaha untuk manghadapi peperiksaan.

Maka tanggungjawab kita adalah melaksanakan segala perintah-Nya. Yang lain, serahkan kepada Allah. Bak kata naqib kami, "We do our part, Allah will do the rest." Allah tidak akan melihat kepada hasil, kesan atau natijah perbuatan kita tapi Allah melihat siapa yang terbaik amalannya.

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya; dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun."
(Al-Mulk: 2)

Itulah sebabnya, bila mana seseorang beriman dengan Qadar Allah, maka hatinya akan sentiasa tenteram dengan segala usaha yang dijalankan. Dia akan hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba dan kesan atau hasilnya diserahkan bulat-bulat kepada Yang Maha Kuasa. Dia akan yakin dengan keadilan, kebijaksaan dan kekuasaan Tuhannya. Itulah tanda keimanan yang sejati.

Kita

Kita terlampau memikirkan natijah berbanding sebab. Kita mengharapan Allah memberikan natijah yang kita inginkan seolah-olah kita yang menetapkan natijah.

"Dan tiadalah kamu berkemahuan melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
(al-Insaan: 30)

Ketika exam, kita berdoa memohon supaya Allah mengurniakan keputusan begini dan begitu. Ketika bekerja kita berdoa memohon dinaikkan pangkat kepada jawatan itu dan ini. Ketika bertanding kita berdoa memohon menang itu dan ini. Ketika mencari jodoh kita berdoa supaya dikurniakan si fulan atau si fulanah menjadi suami atau isteri. Macam-macam lagi. Segala yang didoakan semuanya untuk dunia. Sudahlah hidup selalu melebihkan dunia, berdoa pun untuk dunia. Itulah kita.

Tak salah berdoa untuk benda-benda tadi. Memang Allah suruh kita berdoa meminta apa saja. Tapi bukanlah doa itu yang akan menetapkan natijahnya. Segalanya telah ditentukan oleh-Nya. Maka berdoalah supaya Allah mengurniakan kita yang terbaik dalam segala apa yang kita lakukan. Mohonlah kepada Allah supaya dikurniakan kesudahan yang baik.

Allah tidak melihat natijah yang kita dapat tapi Allah melihat usaha yang kita buat.

Ijoy