10 hari yang lepas merupakan satu rangka waktu yang memilukan bagi kita umat Islam. Satu persatu penindasan dan kekejaman ke atas umat Islam diberitakan. Dari Tengah Eropah, ke Mesir dan akhirnya ke Xinjiang di pedalaman China.
Sedikit sebaran dari pihak kami, untuk mengetuk pintu keprihatinan di dada umat Islam. Semoga apa yang dikongsi di bawah bermanfaat untuk kita semua, inshaAllah..
Marwa Ali el-Sherbini, Si Syuhada Hijab.
Kehidupan sebuah keluarga yang dihancurkan
Seorang wanita warganegara Mesir telah ditikam dengan kejam sebanyak 18 kali di Dresden, Jerman pada 1 July 2009 yang lepas. Lebih memilukan, beliau ketika ditikam sedang mengandungkan anaknya yang sudah berusia 3 bulan dalam kandungan. Apa yang lebih mengejutkan, tikaman maut tersebut dilakukan di dalam mahkamah, bahkan di depan hakim yang sedang membicarakan. Kejadian berlaku sebaik sebelum Marwa memberikan penyaksian ke atas seorang lelaki muda rakyat Jerman berketurunan Russia yang telah dituduh melakukan cemuhan xenophobia kepada Marwa sebelum ini. Antaranya, lelaki tersebut mencemuhnya kerana memakai hijab. Berikut petikan dari Wikipedia.com mengenai peristiwa tersebut:
“After El-Sherbini testified, 28-year-old Alex W. leapt across the courtroom and attacked her in front of her husband and son. Alex W. stabbed El-Sherbini 18 times, killing her. Some witnesses allege that he shouted "You don′t deserve to live" as he attacked her. A policeman who was in the court building testifying in an unrelated case was called to the scene and mistakenly wounded El-Sherbini's husband by a shot in the leg while the latter was attempting to protect his wife. He had already been critically wounded in the attack.”
Pelbagai analisis dibuat, antaranya menyalahkan berkembangnya fahaman Islamophobia melalui Internet di Barat. Kes ini merupakan rentetan daripada krisis kartun Denmark, pengharaman Hijab di Perancis, siri serangan ke atas masjid dan perkuburan, filem Fitna, dan yang terbaru kematian El-Sherbini. Lebih mengecewakan, adalah respons lembap yang ditunjukkan oleh media Jerman secara khusus dan media Barat lain secara umum. Ia membangkitkan persoalan, sekiranya yang dibunuh itu seoerang Kristian atau Yahudi, ataupun seorang warganegara Israel atau Amerika Syarikat, apakah liputan yang diberikan akan berlainan?
Ribuan menemani perjalanan terakhir wira ini
Muslim Uiyghur di Xinjiang
Wilayah Xinjiang bergolak
Lebih 600 nyawa umat Islam bangsa Uiyghur di Turkestan Timur atau lebih dikenali sebagai Xinjiang telah gugur sejak 6 Julai lalu.Bahkan ribuan lagi tercedera atau ditangkap oleh pihak berkuasa China.Apa puncanya? Semuanya bermula beberapa minggu sebelumnya, 26 Jun, dimana 20 orang pekerja Muslim Uiyghur di Wilayah Kunduj telah diserang dan dibunuh oleh pengganas China yang anti Islam di selatan China. Dalam satu laporan yang lain, 2 umat Islam Uiyghur telah dibunuh di oleh pekerja berbangsa Han di Guangdong pada 5 Julai. Ini menimbulkan keresahan dan ketidakpuasan hati di kalangan umat Islam.
Uiyghur yang pada 5 Julai telah mengadakan tunjuk perasaan jalanan di Bandar
Urumqi untuk meminta agar pihak berkuasa China melaksanakan hukuman terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Ditambah lagi dengan penindasan umat Islam Uiyghur yang telah lama berlaku telah menyemarakkan lagi ketegangan tunjuk perasaan tersebut. Pihak berkuasa China dalam cubaan untuk mengekang tunjuk perasaan tersebut telah menggunakan peluru hidup secara rambang ke atas penunjuk-penujuk perasaan dan mengakibatkan lebih 600 orang terbunuh. Pada masa yang sama ribuan lagi cedera atau ditangkap.
Umat Islam Uiyghur
Umat Islam Uiyghur yang dilaporkan sejak sekian lama ditindas
Lebih separuh populasi 20 juta Turkestan Timur atau Xinjiang merupakan umat Islam Uiyghur dan lebih separuh lagi merupakan bangsa Han yang juga merupakan bangsa majoriti di China. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa China sering menyerbu masjid- masjid dan rumah-rumah untuk menangkap ahli-ahli gerakan pemisah. Ditambah pula dengan sekatan kebebasan bersuara dan mengamalkan ibadat kepada umat Islam Uiyghur telah meningkatkan ketegangan di Xinjiang.
Umat Islam Uiyghur sememangnya telah lama membuat bantahan terhadap tindakan kerajaan China yang cuba memusnahkan aktiviti agama dan budaya umat Islam di sana.Dan sering kali bantahan ini dibalas dengan tindak balas berdarah oleh pihak berkuasa China.
Pembunuhan Beramai-ramai Srebrenica
Kesakitan masih dirasai
Pada Julai 1995 seramai hamper 8000 lelaki Muslim keturunan Bosnia telah dibunuh di dalam sebuah kekejaman yang dikategorikan sebagai paling buruk selepas Perang Dunia Ke-2. Kekejaman yang dilakukan oleh tentera Serbia yang dikepalai syaitan, Ratko Mladic merupakan antara yang terburuk dalam sejarah moden. Malangnya, Srebrenica diletakkan sebagai kawasan perlindungan UN dan dilaporkan ketika pembunuhan beramai-ramai itu diadakan, terdapat seramai 400 tentera Belanda yang bertugas sebagai pasukan pengaman. Namun, itu semua tidak dapat menyelamatkan bumi Srebrenica ini.
Dan pada setiap 11 july, rakyat Bosnia akan mengingati ulang tahun tragedi tersebut dan terkini, pada tahun ini, sebahagian 300 daripada 8000 mayat yang ditanam dalam perkuburan beramai-ramai akan dipindahkan untuk ditanam semula di sebuah memorial yang telah pun menempatkan sebanyak 2900 kuburan sebelum ini. Perkuburan beramai-ramai itu merupakan satu cara pihak Serbia menyembunyikan kezaliman mereka pada ketika itu. Setakat ini hamper 60 perkuburan beramai-ramai telah dibuka semula dan ujian DNA telah dilakukan untuk mengenal pasti mayat, namun masih terdapat banyak mayat yang masih belum dikenal pasti.
Umat Islam Bosnia memperingati kematian saudara-saudara mereka
Reaksi Negara Islam
Negara-negara Islam yang sering diharapkan membela nasib umat Islam terus mandul dalam menghadapi perkembangan yang berlaku sekarang ini. Berita-berita dari wilayah Xinjaing amat jarang terdengar. Di India dan Turki pula terdapat beberapa protes yang bersimpati dengan umat Islam di Xinjiang.
Apa pula peranan kita?
Sememangnya berita penindasan umat Islam sering kita terdengar saban hari. Namun usaha-usaha untuk membela nasib mereka amat jarang sekali. Usahkan UN, bahkan OIC juga gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membela umat Islam. Rasulullah S.A.W bersabda mengenai keadaan umat Islam di akhir zaman ini dalam satu hadis shahih riwayat Abu Daud:
"Hampir tiba suatu masa di mana, bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu, bagaikan orang-orang yang hendak makan, mengerumuni talam hidangan mereka"
Maka salah seorang sahabat bertanya,
"Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?"
Nabi s.a.w menjawab, "bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan"
Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?"
Rasulullah s.a.w menjawab," CINTAKAN DUNIA DAN BENCIKAN MATI"
Maka, disamping usaha-usaha kita untuk menunjukkan bantahan kita terhadap nasib umat Islam di Xinjiang, Srebrenica dan kekejaman ke atas Marwa, dalam bentuk boikot dan menyebarkan berita-berita terbaru, janganlah kita melupakan peranan kita untuk meningkat ilmu dan dakwah kita. Sesungguhnya, inilah langkah pertama kita ..
Ya Allah, selamatkan kami umat Islam diseluruh dunia, Ameen..
0 comments:
Post a Comment