Alhamdulillah,
Kita semakin mendekati Ramadhan al-Mubarak tahun ini. Semoga Allah memberikan kita rezeki untuk bertemu Ramadhan sekali lagi tahun ini dan semoga kita masuk dan keluar sebagai produk yang berkesan.
Seperti yang pernah dianalogikan oleh Ustaz Hasrizal @ Saifulislam.com, Ramadhan adalah bulan di mana ada INPUT , PROSES dan OUTPUT. Inputnya di sini adalah iman kita, manakala berpuasa itu adalah prosesnya, manakala produk yang hendak kita ingini hasil pemprosesan "mesin puasa" ini ialah, insan yang bertaqwa.
Allah berfirman:
“ Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana orang-orang yang sebelum daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.” 2:183
Ya, puasa kita dikira sukses sekiranya produk puasa pada diri kita di pagi 1 Syawal ialah semakin bertaqwanya kita.
Justeru, Ramadhan, merupakan satu madrasah atau training centre untuk kita.
Dengan itu, Allah dan Rasul menyediakan “ kursus pra-Ramadhan ” untuk kita di 2 bulan ini, iaitu di bulan Rejab dan Syaaban. Walaupun, tidak benar sangkaan orang kita bahawa Rejab itu Bulan Allah, dan Syaaban itu Bulan Nabi kita s.a.w. seperti yang di sebut dan tersebar melalui sebuah hadis palsu, ternyata, syariat Islam menunjukkan terdapatnya anjuran untuk mempertingkatkan ibadah dalam dua bulan ini. Ia sebagai persediaan untuk memasuki training centre yang disebut tadi. Agar tidak berlaku kejutan atau boleh saya katakan, istilah Melayunya, hangat-hangat tahi ayam, tak pun istilah Inggerisnya, Shock!
Maka persediaan perlu dilakukan pada diri kita secara berperingkat.
Fizikal kita, mental dan emosi kita, tidak lupa juga, rohani kita…
InshaAllah, semoga Ramadhan ini membawa “segulung ijazah” bagi kita . BIT. Bachelor of Iman and Taqwa..
PS. Hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”
Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).
0 comments:
Post a Comment