Dari Nawwas bin Sam’an radhiallahuanhu , dari Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam baginda bersabda : “Kebaikan adalah akhlak yang baik, dan dosa adalah apa yang terasa mengganggu jiwamu dan engkau tidak suka jika diketahui manusia. “
(Riwayat Muslim)

Dan dari Wabishah bin Ma’bad radhiallahuanhu dia berkata : Saya mendatangi Rasulullah saw, lalu baginda bersabda : Engkau datang untuk menanyakan kebaikan?, saya menjawab : Ya. Baginda bersabda : Mintalah pendapat dari hatimu, kebaikan adalah apa yang jiwa dan hati tenang kerananya, dan dosa adalah apa yang terasa mengganggu jiwa dan menimbulkan keragu-raguan dalam dada, meskipun orang-orang memberi fatwa kepadamu dan mereka membenarkannya.
(Hadits hasan kami riwayatkan dari dua musnad Imam Ahmad bin Hanbal dan Ad Darimi dengan sanad yang hasan.)


Kebaikan Adalah Akhlaq Yang Baik
Menurut Ibnu Rajab, kebaikan yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah:
1.) Berinteraksi sesama makhluk dengan akhlaq yang baik
2.) Ibadah kepada Allah

Maksudnya, kebaikan itu adalah akhlaq yang baik dengan makhluk dan akhlaq yang baik dengan Allah s.w.t.


Dosa Adalah Apa Yang Mengganggu Jiwa dan Tidak Suka Diketahui Manusia
Manusia dilahirkan secara fitrah sukakan kebaikan. Bilamana seorang manusia melakukan dosa, sedang jiwanya dalam keadaan fitrah (Islam), maka jiwanya akan tidak tenang.

Selain itu, seseorang yang suci jiwanya sepatutnya merasai bersalah tatkala melakukan dosa dan tidak mahu perbuatannya dosanya diketahui orang. Lintasan rasa bersalah menandakan dosa yang menodai hatinya.


Kebaikan Adalah Apa Yang Jiwa dan Hati Tenang Kerananya
Rasulullaah s.a.w. menyuruh kita bertanyakan 'fatwa' hati berkenaan kebaikan. Setiap kebaikan adalah apa yang hati tenang kerananya. Andaikata kita berhadapan dengan kebaikan dan kejahatan yang samar-samar sifatnya, maka hatilah yang menjadi neraca timbangnya.


Dosa Adalah Apa Yang Terasa Mengganggu Jiwa dan Menimbulkan Keragu-raguan Dalam Dada
Sama seperti hadith yang pertama, manusia fitrahnya sukakan kebaikan dan bencikan dosa. Tatkala melakukan dosa, akan timbul rasa bersalah dan ragu-ragu dalam hati.


...Meskipun Orang-orang Memberi Fatwa Kepadamu dan Mereka Membenarkannya
Walaupun perkara yang dilakukan halal dari sudut fatwa, namun apabila dalam hati timbul rasa ragu-ragu, seorang mukmin perlu meninggalkan urusan tersebut. Inilah yang disebut sebagai warak.

"Meninggalkan sebahagian perkara yang halal untuk mengelakkan terjadinya perkara yang haram."



Pengajaran Tarbawi
1. Seorang akh perlu mempunyai kebolehan 'self-control' bagi membendung diri melakukan dosa ketika berseorangan atau beramai-ramai
2. Seorang akh perlu mentarbiyyah dan mentazkiyyah hati supaya sentiasa bersih dan mampu mengawal tingkah laku.
3. Seorang akh haruslah bersifat wara', yakni meninggalkan sebahagian yang halal jika ia mampu membawa kepada perkara munkar.



Azizul Salehudin