Sabtu, 2 hari sebelum bermulanya semula semester musim panas bagi pelajar perubatan di Hradec Kralove, aku memulakan hari seperti biasa di rumah sahabat yang digelar Rajske Zahrady (RZ). Tidak tahu mengapa, pagi ini aku tidak berasa selesa kerana dihantui pelbagai masalah yang bermain diminda yang menyebabkan aku mendiamkan diri agak lama setelah selesai solat subuh. Namun, Alhamdulillah aku tersedar akan nikmat yang Allah telah kurniakan buat diri yang masih lagi bernafas dan berpeluang merebut tempat ke destinasi yang diidami ramai yakni syurga. Nikmat yang terlampau besar dan berharga jika hendak dibandingkan dengan masalah yang sedang bermain di kepala. Alhamdulillah, kini aku kembali menjadi diriku yang sebenar, seorang yang ceria dan suka mencetuskan senyuman di muka rakan yang lain(walaupun kadang kala menimbulkan kemarahan mereka =)).
Setelah selesai membantu mereka menyediakan sarapan pagi, aku pun bersiap-siap untuk pulang kerumah kerana ada perkara yang ingin diselesaikan. Lagipun, aku memang tidak merancang untuk pergi ataupun bermalam di RZ pada mulanya. Jam menunjukan jam 8.50 pagi, 20 minit sebelum bas kerumahku tiba di sebuah stesen berdekatan. “Emmm, ada lagi 20 minit. Kalau turun pukul 9.03 minit pun sempat lagi nak kejar bas”, aku bermonolog sendirian.
Apabila waktu yang dinanti tiba, aku pun mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakanku dan memulakan langkah menuju kerumahku. Tapi, apabila aku tiba dimuka pintu bangunan tempat kediaman rakanku, malangnya pintu terkunci. Aduh!! Aku terpaksa naik semula keatas untuk mendapatkan kunci dan sudah tentu aku tidak sempat mengejar bas yang sepatutnya. Setelah tiba di Rajske Zahrady, sekali lagi aku menyemak jadual bas untuk bas yang seterusnya. Kali ini bas berikutnya akan tiba pada jam 9.30 pagi di sebuah stesen yang agak jauh dari RZ. Mahu tidak mahu, terpaksalah aku berjalan sedikit untuk mendapatkan bas tersebut. Perancangan yang ku buat sebelum itu terbatal dan terpaksalah aku pulang sedikit lewat. Setelah berjalan selama lebih kurang 10 minit, aku pun akhirnya tiba di Adalbertinum (stesen bas) 7 minit lebih awal dari bas yang dikejar.
Sedangku menanti bas bernombor 27 itu, aku lihat banyak sampah sarap bertaburan di sekitar stesen bas itu, sesuatu yang normal pada pagi sabtu setelah ramai anak muda tempatan cuba menghiburkan diri pada malam sebelumnya di kelab malam, bar, restoran atau di mana sahaja yang mereka rasa dapat memberikan ketenangan setelah berhempas-pulas bekerja ataupun belajar sepanjang minggu.Alhamdulillah, diriku tidak terarah untuk berbuat perkara sedemikian. Tatkala mataku meliar mencari sesuatu yang baru ataupun luar biasa di kawasan sekitar sementara menanti bas, tiba-tiba seorang lelaki dan anjingnya yang agak pelik rupanya melewati dihadapanku. Sedang anjing yang diikat lehernya mengekori tuannya, ia sempat menyambar beberapa hranolky(perkataan bahasa Czech yang bermaksud French fries =)) yang bertaburan di hadapanku. Tuannya yang menyedari perkara itu, tersentak dengan perbuatan anjingnya itu lalu naik marah dan menyentak tali ikatan dileher anjingnya itu dengan agak kuat. Ia berlaku beberapa kali dan ini menyebabkan anjing itu meronta mungkin kerana kesakitan.
“Zalim betul mamat ni, seksa anjing sampai macam tu. Kalau tak suka sekali pun, janganlah sampai sentak tengkuk anjing tu. Dia tak fikir ke ape rasanya kalau tenggkuk die kena sentak sampai macam tu. Entah-entah anjing tu makan sampah tu pasal tuannya tak beri makan yang cukup, ish ish ish. Sedar tak dia bahawa anjing dia tu lebih mulia dari dirinya kerana tak macam tuannya, anjing tu menjalankan sunnatullah. Anjing kau tu lagi beriman dari kau. Kesian betul tuan kau anjing, dia tak faham benda ni sebab dia bukan muslim. Alahai, alangkah bagusnya kalau semua mat salleh ni terima islam. Alhamdulillah, ya Allah kerana kau memilihku untuk menjadi seorang muslim.”, aku terfikir setelah meneliti gelagat 2 makhluk Allah itu tadi. Kemudian anjing dan tuannya itu tadi meneruskan perjalanan mereka, manakala aku pula terus menanti bas. Selang beberapa minit, bas pun tiba lalu aku pun menaikinya dan mendapatkan tempat duduk yang kosong. Aku pun mula memerhatikan pemandangan di luar bas melalui tingkap, perkara yang aku kerap dan gemar lakukan jika aku berjalan bersendirian.
Sedang bas itu bergerak tidak jauh dari stesen tadi, aku ternampak anjing dan tuannya itu di hadapan sebuah pasaraya kecil. Subhanallah, alangkah terkejutnya aku apabila melihat tuan anjing yang ku anggap zalim tadi, sedang menyuapkan roti yang baru dibelinya kepada anjing yang disakitinya tadi dengan penuh kasih saying. Astagfirullah, betapa salahnya tanggapan aku tadi yang menghina tuan anjing itu. Mungkin dia bukan seorang muslim, namun apa yang sedang dia lakukan lebih mulia dari apa yang dilakukan oleh ramai manusia yang mengelar diri mereka Islam. Berapa ramai muslim yang apabila berjanji mengingkarinya, apabila diberi amanah tidak melaksanakannya, apabila beristeri menyeksanya, bila beranak membakar atau membuangnya, apabila memimpin menzalimi pimpinannya? Berapa ramai muslim yang bila diberi nikmat islam menyia-yiakannya, membunuh sesama islam, membelot, menerima rasuah, berzina, berjudi, menagih dadah. Sekurang-kurangnya pemilik anjing itu tidak mengabaikan tanggungjawabnya untuk mengasihi dan menyediakan makanan kepada anjingnya. Mungkin tindakannya menyakiti anjingnya untuk mengelakan anjingnya dari terus memakan makanan yang kotor dan mungkin memudaratkan.
Aku berasa sangat terharu dan bersyukur kerana banyak mendapat ibrah dari perjalanan hidupku pada hari ini walaupun baru berlangsung selama beberapa jam sahaja. Kita mungkin merancang sesuatu, tetapi tidak semestinya ia berlaku seperti yang kita rencanakan dan mungkin kita inginkan sesuatu tapi tidak semestinya ianya terbaik buat kita dan kita akan memperolehinya. Secara peribadi, banyak yang aku doakan, minta, harapkan, inginkan, sukakan, elakkan dsbnya. Namun kisah hidupku hari ini mengingatkan kembali tentang realiti kesemuanya.
…boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (2:216)
Aku telah merancang untuk pulang melalui stesen yang lain namun akhirnya aku terpaksa ke satu stesen yang lain yang lebih jauh dan kemudian berjumpa dengan 2 watak yang sangat menarik di atas. Sebenarnya bila difikirkan, terlampau banyak perkara yang serupa berlaku pada diri kita sehari-hari. Ada yang sangat besar dan kita dengan mudah menyedarinya dan ada pula yang sangat kecil yang selalu kita terlepas pandang dan tidak mengendahkannya. Banyak yang Allah telah rencanakan untuk kita dan semuanya inshaAllah hanya akan membawa kita ke jalan mati di mana terpampang sebuah billboard yang sangat besar dengan iklan yang jika ditafsirkan akan berbunyi Allahuakhbar!!. Namun untuk mentafsirkan iklan atau billboard itu tadi kita bukan perlu memiliki kemahiran membaca tapi kemahiran berfikir.
Dan tidakkah manusia itu memikirkan bahwa sesungguhnya Kami telah menciptakannya dahulu, sedang ia tidak ada sama sekali? (19:67)
Jadi aku dengan penuh kesedaran tentang kelemahan dan kehinaan diri ini menyeru diriku dan para pembaca sekalian, marilah kita berfikir mencari hidayah dan petunjuk illahi bukan menantinya datang dan mengharapkannya datang dalam bentuk yang luar biasa seperti yahudi meminta nabi Musa untuk menunjukan mukjizat dari Allah namun masih mengakhiri hayat mereka dengan kekufuran. Nauzubillah…
0 comments:
Post a Comment