Ihya' Ramadhan : Istimewa Merdeka - Merdekakan Diri Anda

Oleh: Abu Hamzah


Bersempena dengan hari kemerdekaan negara kita yang ke 53, kami di Rajske Zahrady mengajak saudara/i pengunjung untuk merenung kembali erti kemerdekaan sebenar dengan mengikuti ceramah perdana oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, mantan Mufti Perlis bertajuk "Merdekakan Diri Anda".


Semoga bermanfaat. Salam kemerdekaan dari kami di Rajske Zahrady.








Muslim Yang Tidak Islam

Oleh: Abu Hamzah







Perasaan saya bercampur baur ketika menonton klip video di atas. Bercampur antara sedih, marah, kecewa dan kesal. Malu pun ada.

Apa yang berlaku di Shah Alam kelmarin adalah sesuatu yang tidak Islamik. Apa yang berlaku di Shah Alam kelmarin adalah sesuatu yang sepatutnya memalukan umat Islam yang benar-benar menyayangi agamanya.

Islam agama yang mengajar umatnya untuk adil kepada semua, samada musuh mahu pun kawan. Samada Muslim ataupun bukan.



"Wahai orang-orang ang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."


(al-Maidah : 8)



Ya, kita boleh memahami kenapa adanya bantahan tersebut. Namun, apa yang dipersoalkan ialah cara bantahan tersebut dibuat. Kenapa mereka perlu turun ke tahap yang begitu rendah sekali?!


Untuk rakan-rakan bukan Muslim, saya berasa sangat perlu untuk saya menerangkan kembali kepada anda semua, tindakan penduduk Syeksen 23 tersebut bukan tindakan yang Islamik. Islam melarang tindakan seperti itu. Di dalam al-Quran kami, Allah menyebut:


" Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan "

(al-An'am : 108)


Sepatutnya, mereka semua memahami signifikasi lembu kepada agama Hindu setelah begitu lama hidup di negara berbilang kaum seperti Malaysia. Apalah salah lembu tersebut sehingga perlu dihina sedemikian rupa? Bagaimana tergamak seorang yang waras akalnya bertindak demikian terhadap haiwan ciptaan Yang Maha Esa yang saban hari kita jadikan makanan kita?


Tindakan membawa kepala lembu tersebut saya katakan agak pelik. Agak misteri. Hatta, di akhir klip tersebut, apabila di wawancara, jurucakap tersebut sendiri kelihatan serba salah.


Selalunya tindakan-tindakan luar biasa seperti ini ada dalang disebaliknya. Siapa dalangnya bukan urusan saya dalam posting ini. Pandangan saya, ada juga 'bau politik' dalam isu tersebut. Jika benar ada dalang politik di sebalik semua ini, dukacita. Sekali lagi politik kita dicemari unsur perkauman seperti ini. Sepatutnya, sudah tiba masa politik kita keluar dan bersih dari sikap radikalisme perkauman seperti ini.


Menyentuh isu kuil, saya menyokong hasrat kerajaan negeri Selangor untuk mengadakan dialog bersama dengan penduduk Syeksen 23 seperti yang dirancang pada 5 September nanti. Biarlah keputusan yang dicapai keputusan yang win-win untuk semua (baca). Panjang sekiranya ingin didebatkan baik-buruk pembinaan kuil tersebut di sini.


Ingin juga saya menyentuh beberapa perkara untuk renungan kita umat Islam.


1) Inilah kesan sekiranya kita bertindak melulu secara jahil tanpa mengambil kira dalil-dalil agama dalam sebarang tindakan kita, sekalipun kita menyangka kita berbuat sesuatu untuk agama. Apa yang lebih mendukacitakan semua ini berlaku di bulan Ramadhan yang mulia ini. Dikala semua kita sedang berpuasa. Maaf sekiranya agak kasar - dikala syaitan-syaitan pun dirantai. Entah mana datang sikap seperti ini..


2) Kita 'bising' apabila ada 'orang lain' ingin membina rumah ibadat mereka. Kita sendiri yang begitu banyak masjid-masjid yang begitu besar, selalu membiarkan masjid-masjid kita kosong dan hambar. Ada yang lebih teruk, segolongan dari kita pula ada yang menjadikan masjid-masjid kita sebagai 'pusat merokok.' Bus stop, restoran, lapangan terbang semuanya kawasan larangan merokok. Masjid pula kita jadikan 'pusat merokok'!


3) Kita marah apabila orang Barat menghina Nabi Muhammad s.a.w. dengan kartun-kartun mereka beberapa tahun yang lepas. Kita juga marah dengan tayangan file 'Fitna' yang menghina al-Qur'an tahun lepas. Bayangkan juga bagaimana hati dan perasaan penganut-penganut agama Hindu apabila melihat klip tersebut. Ini sepatutnya mengajar kita agar lebih sensitif terhadap isu-isu seperti ini. Tanggungjawab kita sekarang ialah untuk menyampaikan imej Islam yang bersih kepada sahabat bukan Islam kita.


4) Apa yang paling mendukacitakan saya, isu ini akan menyebabkan orang-orang Hindu benci pada agama Islam. Ya, walaupun tindakan seperti ini dilarang oleh Islam, namun, mahu tidak mahu ia akan menjadi satu punca salah faham dikalangan orang-orang Hindu. Kerana beberapa 'kerat' orang Islam yang tidak Islamik, dukacita, Islam menjadi mangsa. Maka, ambillah peluang sekiranya ada untuk menerangkan kepada mereka tentang kebenaran dalam perkara ini.


5) Jangan kita kerana buta berpolitik, Islam kita gadaikan!!


Suka saya sekiranya ada wakil penduduk Syeksen 23 keluar memberikan kenyataan memohon maaf atas tindakan tersebut. Demikian juga, ada baiknya, pihak-pihak autoriti agama seperti JAKIM, Majlis Fatwa dan Jabatan Mufti mengeluarkan kenyataan untuk menerangan posisi Islam yang sebenar berkaitan isu ini. Kita kena mengakui kesalahan yang dibuat dan kita perlu membersihkan nama Islam. Mungkin dengan itu, ia akan melembutkan hati orang bukan Islam yang marah dan seterusnya menjadikan mereka tidak lagi salah faham terhadap Islam. Mungkin juga akan menjadikan mereka lebih dekat dengan Islam.