Ramadan menjelang lagi..

Pintu Syurga terbuka.. Pintu Neraka tertutup.. Syaitan dirantai..

Tawaran Allah untuk kita..

Bagaimana sambutan kita?..

Adakah dengan membelakangi sahutan Allah itu atau dengan kesungguhan mengejar segala kebaikan yang terhidang sepanjang bulan mulia akan datang nanti..?..

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan dari kami krew Rajske Zahrady..

...........................................................................................................................................................................
Senarai Semak Amalan Sunnah di Bulan Ramadhan

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Mengtakhirkan Besahur di akhir malam .

Nabi SAW bersabda : "Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" Hadis Riawayat Muslim, 2/770

Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" Hadis Riwayat al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim

Waktu yang terbaik untuk makan sahur : adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan.

Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.

Peringatan !! : Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3) Mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah (bagi lelaki).

4) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Disunnahkan kepada seluruh umat Islam agar bertadarus (membaca dan mempelajari) al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bertadarus al-Quran bersama Jibril a.s pada setiap malam di bulan Ramadan. Ibn Abbas r.a berkata:

"Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w ) pada setiap malam di bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu. Nabi s.a.w memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya." Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1902.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as.

5) Mengerjakan solat fardu secara berjemaah (bagi lelaki) dan solat sunat sunnah yang diajar nabi.

Anata solat sunat sunnah : solat sunat rawatib 12 rakaaat (qabliah dan ba'diah),solat sunat wudhuk, solat sunat dhuha

6) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع
Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" Riwayat Al-Bazaar

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم

Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

7) Memperbanyakan doa ketika hampir berbuka

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد
Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak (Riwayat Ibn Majah ; Sohih

8) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka" Riwayat Al-Bukhari, 4/1957.

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita. Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

9) Sunnah berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi (Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).

Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله

" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"
Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani

10) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta terutamanya bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin.

Umat Islam sepatutnya menggunakan kesempatan di bulan Ramadan yang penuh berkat ini dengan menggandakan amal kebajikan seperti bersedekah. Rasulullah s.a.w yang sememangnya terkenal dengan sifat dermawan sentiasa memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain.


Ibn Abbas r.a berkata:

Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dalam hal kebaikan dan kemuncak sifat dermawanan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan." Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1902.

Nabi SAW bersabda :

من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi

Disebut dalam sebuah hadis lain

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi


11) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.

Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

12) Memperbanyakkan bersiwak .

Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.




Perkara-perkara yang perlu dielakkan semasa berpuasa :


1.Meninggalakan perkara2 mazmumah

Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makanan dan minuman. Tetapi, untuk memperolehi kesempurnaan di dalam berpuasa seseorang seharusnya juga meninggalkan perkataan-perkataan yang keji serta perbuatan-perbuatan orang jahil. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) atau berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum)." Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1894

2. Meninggalakan perbuatan yang lagha (sia-sia)

Justeru, disunnahkan bagi orang yang berpuasa meninggalkan perbualan yang lagha (tidak berfaedah), mengumpat, bercakap kotor, mencerca orang lain dan sebagainya. Puasa juga mendidik seseorang untuk menjadi penyabar. Oleh itu, seseorang yang berpuasa disunnahkan bersabar apabila dicerca mahupun diperangi oleh pihak lain dengan mengucapkan “sesungguhnya aku sedang berpuasa” sebagaimana sabda rasulullah s.a.w:

"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa (Nabi menyebutnya dua kali). ” Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1894.


3. Meninggalkan perbuatan mencerca dan memerangi termasuk percakapan bohong.

Semoga melalui ucapan itu dapat mencegah pihak lain dari mencerca atau memeranginya. Berbohong boleh mencacatkan kesempurnaan puasa. Oleh itu, syariat melarang seseorang bercakap bohong ketika berpuasa dan Allah melarang keras perbuatan dengan ancaman tidak akan menerima ibadah puasanya. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukan perbuatan itu terus menerus, Allah langsung tidak berhajat (memandang) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum (puasa)." Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1903.


Rujukan :

1. Bonus Belanjawaan Vs Bonus Ramadhan oleh Ust. Zaharuddin Abdul Rahman (www.zaharuddin.net)

2. Amalan-Amalan Sunnah Pada Bulan Ramadan oleh Akhi Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (www.al-fikrah.net)

3. Bersahur dan berbuka puasa cara Rasulullah Akhi Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (www.al-fikrah.net)

Sumber: www.al-fikrah.net melalui artikel sumbangan Bro Aiman dari www.ibn-qayyim.blogspot.com