Berlaku beberapa perkembangan terkini beberapa menjak ini yang mendesak saya untuk meluahkan apa yang saya rasa patut saya kongsikan. Anggaplah apa yang ingin saya sampaikan sebagai satu nasihat dari orang yang mengambil berat tentang sahabat seagamanya, demi cinta pada agama suci ini.

Wikipedia.com memberi definisi hedonisma sebagai:-

" a type of philosophy for that the pleasure is an ultimate importance and the most important pursuit for the man "


Ya,termasuk dalam hedonisma ialah orang yang buta dengan hiburan sehingga boleh menyebabkan dirinya hilang arah tujuan dan fokus. Sehingga, kadang-kala sanggup ia menggadaikan nilai agamanya semata-mata atas andaian "agama tidak melarang". Ia berandaian begitu kerana tidak pernah mengambil peduli untuk menilai dengan jujur apakah sebenarnya pandangan agama yang shahih berkenaan sesuatu hiburan ini.


Ya, Islam yang mulia ini tidak melarang hiburan, tetapi persoalan sekarang, hiburan bagaimana?

Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis yang pernah bersama - sama kita di Czech Republic tidak lama dahulu pernah menulis di dalam salah satu artikelnya bertajuk: " KONSERT INUL, ISLAM LIBERAL & ISLAM HADHARI " menyebut:


"Saya fikir masyarakat muslim di Malaysia tidak pernah menghadapi cabaran yang menggugat agama mereka seperti era sekarang. Cabaran-cabaran itu bukan menggugat tubuh badan mereka, sebaliknya menggugat keimanan dan akidah mereka. Dalam era ‘projek Islam Hadhari’ yang menjanjikan program-program bertulis yang hebat, nampaknya –setakat ini- ia tidak lebih dari coretan-coretan indah di helaian-helaian kertas semata. Belum terbukti dipentas kenyataan ia benar-benar berfungsi seperti yang dicatatkan."


Konsert-konsert hiburan semakin rancak. Banyak pihak yang berlumba-lumba menjemput artis. Dari orang biasa sehinggalah ke menteri dan universiti.... "

Ya, bukan hiburan menjadi masalah, yang menjadi masalah adalah SALAH FOKUS kita dalam berhibur.

Islam yang kita anuti bukanlah memusuhi hiburan. Tetapi dengan batas-batasnya.

Hiburan-hiburan yang sedang ditaja sekarang tidak membangunkan apa-apa melainkan membanyakkan unsur negatif.


Dr Mohd Asri dalam artikel yang sama terus mengkritik:

" Kita percaya kebanyakan yang hadir ke konsert-konsert yang seperti itu adalah anak-anak melayu yang sebahagian besarnya mengaku beragama Islam. Samada mereka benar-benar muslim, atau muslim hanya pada nama dan keturunan, kita tidak pasti...

Namun konsert-konsert tersebut tidak membangunkan minda dan jiwa. Ia lebih membawa kepada unsur negatif; percampuran lelaki perempuan, pendedahan aurat, pengambilan dadah, pembaziran masa dan tenaga. Menjadikan anak-anak muda kelihatan liar dan tidak berdisiplin. Sementara ‘orang lain’ pula sedang bersungguh-sungguh dalam membina ekonomi, pendidikan dan agama mereka.

Akhirnya kita semua bagaikan orang mabuk yang khayal dan meracau, lalu segala rahsia dirinya dicuri orang "


Saya petik lagi teguran Dr Mohd Asri di dalam artikel beliau itu:

"Barat mereka barangkali boleh cuai dibuai dengan muzik tanpa sempadan dan seumpamanya disebabkan ruang agama dalam jiwa mereka sudah hilang dan perlu diisi dengan sesuatu. Lalu mereka mencari berbagai-bagai ganti, termasuklah muzik. Kekuatan kerajaan mereka juga ampuh dan kukuh. Anak muda kita tidak sepatutnya menyerupai Barat dalam hal ini. Barat mendapat pulangan ekonomi yang tinggi dengan industri muzik. Penduduk negara-negara lain turut membeli album artis-artis mereka dan mencontohi akhlak serta jenama yang mereka pakai dan pamirkan. Anak-anak muda kita yang sebahagian besarnya hanya ‘sekadar cukup’, tidak lebih dari menghabiskan duit poket sendiri dan ibu bapa mereka. Apa jenama keluaran kita yang hendak kita pamirkan??!! Apa pula akhlak kita yang hendak kita tonjolkan melainkan sekadar mencetak sepenuhnya akhlak mereka??!!. Penduduk negara mana pula yang ‘gila’ ingin membeli lagu-lagu kita melainkan jiran sebelah yang kita jemput wakilnya bergelek di hadapan anak muda kita. Jika undi sms Akademi Fantasia diberikan kepada pembangunan pendidikan, berapa banyak manfaat yang boleh kita dapat!!. Semua lebur demi mengundi ‘calon-calon’ yang pun tidak membela nasib umat dan bangsa muslim mereka. .."


Saya merasakan teguran yang diberikan oleh Dr Mohd Asri sangat baik untuk kita semua renungkan bersama..

Kita semua apabila ditanya, akan selalu mengakui, bahawa. kita mencintai Islam. Kita juga sering mengakui kita sangat cintakan Allah s.w.t. dan RasulNya Muhammad s.a.w..

Kebenaran penyaksian kita hanya boleh dinilai apabila berlakunya pertembungan di antara dunia dan hawa nafsu yang kita kejari dengan cinta Allah dan Rasul yang selalu kita akui. Di mana kita ketika itu.? Ketika kita di minta membuat pilihan antara cinta dunia dengan cinta agama, apa pilihan kita. Adakah kita hanya jaguh dalam retorik buta sahaja tanpa mampu kita buktikan dengan tindakan kita? Jangan kita termasuk seperti mereka yang Allah gambarkan di dalam ayat berikut:

" Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya "

(al-Saff : 2-3)


Akhir sekali, ingin saya berkongsi hadis berikut:

Al-Mundzir bin Jarir menceritakan dari ayahnya Jarir bin Abdillah , bahwasanya Rasulullah shalallahu ‘alaihi wassalam pernah bersabda:

“Siapa yang melakukan satu sunnah hasanah dalam Islam, maka ia mendapatkan pahalanya dan pahala orang-orang yang mengamalkan sunnah tersebut setelahnya tanpa mengurangi pahala-pahala mereka sedikitpun. Dan siapa yang melakukan satu sunnah sayyiah dalam Islam, maka ia mendapatkan dosanya dan dosa orang-orang yang mengamalkan sunnah tersebut setelahnya tanpa mengurangi dosa-dosa mereka sedikitpun.”

Hadits yang mulia di atas diriwayatkan dalam Shahih Muslim.

Yang dimaksud dengan sunnah hasanah dalam hadis di atas ialah menempuh satu jalan yang diridhai, yang jalan tersebut ada contoh/asalnya dalam agama ini (bukan perkara yang diada-adakan/ bid’ah) dan akan menjadi contoh bagi orang lain.

Sedangkan sunnah sayyiah dalam sabda baginda ialah jalan yang tidak diridhai dan yang tidak ada asalnya dalam agama ini.

(Tuhfatul Ahwadzi, hal. 2034, kitab Al-’Ilm, bab Fi Man Da’a Ilal Huda Fatutbi’a aw Ila Dhalalah, Syarhu Sunan An-Nasa‘i lil Imam As-Sindi, 5/76)

Yang membedakan antara sunnah hasanah dengan sayyiah adalah adanya kesesuaian dengan pokok-pokok syar’i atau tidak. (Syarhu Sunan Ibni Majah lil Imam As-Sindi 1/90)

(rujukan)

Berhati-hatilah kita agar kita tidak termasuk di antara mereka yang memulakan sesuatu yang buruk yang mana ia kemudiannya akan diikuti oleh orang lain, termasuk sahabat-sahabat kita sehingga mana dosanya kembali tercalit pada kita.Nauzubillah.. Semoga Allah memelihara kita semua, amin.