“Apa salahnya kalau kita orang buat persembahan. Bukannya ada menari ke, bukak-bukak aurat ke. Kitorg berlakon dengan menyanyi aje. Lagipun suara bukannya aurat.”

“Ada dalil ke yang kata perempuan tak boleh buat persembahan atas pentas?”

Soalan ‘common’ yang sering dibangkitkan tatkala musim Malam Malaysia, Theatre di Kolej-kolej, Persembahan Hari Guru di SBP-SBP dan sebagainya. Soalan ‘common’ yang sepatutnya dapat dijawab secara ‘common sense’ oleh si tukang tanya itu sendiri, tapi hampa.

Tak mengapalah. Mungkin ‘common sense’ hari ini dah tak ‘common’. Mari kita layan soalan itu dalam konteks agama kerana hujah yang dibalas si tukang tanya berkisar tentang hukum dan dalil.

Suara Wanita

Benar, suara wanita dalam keadaan biasa bukanlah aurat sebagaimana yang dipersetujui oleh Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syafie. <Rujukan>

Bila Bukan Aurat Berubah Menjadi Aurat

Apabila dipersetujui suara wanita itu bukan aurat, bukanlah bermaksud ianya tidak terlepas dari kawalan syariat. Syariat diturunkan Allah sebagai pengawal dan bukan penghalang. Dia Maha Mencipta lantaran Dialah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk ciptaan NYA.

Firman Allah:

فَلاَ تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِى فِى قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً

Ertinya : Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandngan dan tatacaranya)"

[Al-Ahzab : 32]

Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini ( Adwa al-Bayan, 5/10 : At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137 ; )

Imam As-Suddi berkata : larang ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat ( Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)

Subjek yang dibincangkan adalah suara wanita manakala watak-watak yang diceritakan dalam tafsiran di atas adalah kaum wanita dan orang yang berpenyakit di hatinya. Lantas dalam konteks persembahan di khalayak, nyata audience yang datang adalah pelbagai dan sudah pasti tidak semuanya tidak berpenyakit hati. Apatah lagi majlis yang dihadiri orang kafir.

Menampakkan Diri Di Khalayak Ramai

Isu suara dan aurat telah terjawab, ingin saya timbulkan pula soal menampakkan diri di khalayak ramai. Berdalilkan firman Allah:

“Dan katakanlah kepada para wanita beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya...”

[An-Nur:31]

Jelas ayat ini melarang para wanita beriman manampakkan perhiasan diri mereka kecuali kepada orang-orang tertentu sebagaimana yang dijelaskan sehingga akhir ayat di atas.

Hadith Rasulullah yang berbunyi:

Dari Abu Hurairah r.a yang berkata:

“Rasulullah SAW bersabda: “Dua golongan dari ahli neraka yang tidak mahu saya lihat:”

1.)Suatu kaum yang memegang cambuk/cemeti yang bagaikan ekor-ekor lembu. Kemudian dengan itu mereka cambukkan manusia.

2.)Perempuan-perempuan yang berpakaian namun terlanjang. Berlenggang-lenggok ketika berjalan. Kepala-kepala mereka bagaikan punuk-punuk unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak pula mendapatkan harumnya. Sesungguhnya harum syurga itu terdapat pada perjalanan begini dan begini.” [HR Muslim]



Pra-Persembahan Pentas

Mari kita pandang ke luar sedikit daripada persembahan di atas pentas yakni persediaan sebelum persembahan pentas itu sendiri. Sudah tentu persembahan-persembahan itu tidak dibuat secara spontan tanpa perlu latihan dan rehearsal. Sesi latihan sangat penting dan adakalanya membawa sampai lewat malam.Adakalanya membawa rasa suka, gembira bersama. Bertepuk tampar, ter...itu, ter...ini. Bak kata orang Perak, ‘ingkey’. Dari sinilah bermulanya bibit-bibit dosa, panahan-panahan syaitan, munculnya penyakit hati dan sebagainya. Ramai yang akan membantah, tak kurang yang akan mengatakan hujah ini tidak professional namun Allah yang telah menciptakan hati-hati ini sentiasa berbolak-balik. Dia Maha Mengetahui setiap denyutannya. Tak usahlah menipu diri sendiri dan orang lain.

Pergaulan lelaki dan wanita ajnabi (bukan mahram) ini disebut ikhtilat. Suka saya kongsikan beberapa perkara yang mengharuskan ikhtilat sebagaimana yang disyarahkan oleh Sheikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal Fi al-Ahkam al-Mar'ah:

1) Harus kerana terpaksa (dharurah)
Ikhtilat yang berlaku kerana terpaksa seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi dengan katanya:

"Berkata ahli mazhab Syafie: "Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Dikecualikan daripada hukum ini keadan-keadaan dharurah, seperti jika seseorang lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada kumpulan manusia, maka harus ia menumpangkan wanita tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu hukum menumpangkannya adalah wajib tanpa khilaf. Antara contoh dharurah yang lain ialah seperti seorang lelaki ajnabi melarikan wanita dengan tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu satu jalan untuk menyelamatkan wanita tersebut.

2) Harus kerana keperluan (hajat)
Ulama' berkata, hajat mengambil peranan dharurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.

3) Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak
Harus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual beli, melakukan tawar menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab adab pergaulan.

4) Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman
Wanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Zahiriah dan Imam at-Tabari. Sudah termaklum kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.

5) Ikhtilat kerana menjadi saksi
Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Seperti dinyatakan dalam ayat akhir surah al-Baqarah. Menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.

6) Ikhtilat kerana amar makruf nahi mungkar
Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya al-Muhalla bahawa Umar al-Khattab RA telah melantik al-Syifa’ menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.

7) Ikhtilat kerana melayan tetamu
Harus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasan yang syar'i seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun ia terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadith Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah SAW dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk Baginda SAW.

8) Ikhtilat kerana memuliakan tetamu dan jika perlu makan bersamanya

Harus bagi wanita makan bersama tetamu dan suami tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syar'i. Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah SAW dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama sama baginda. Ini bererti bahawa orang Ansar dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama, walaupun mereka tidak makan, kerana mengutamakan tetamu.

9) Ikhtilat dalam kenderaan awam

Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan, walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi,seperti keluar untuk menziarahi dua ibu bapanya, membeli belah dan ke hospital, meski pun ia terpaksa menaiki kederaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi, dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syar'ie.

10) Ikhtilat dalam kerja-kerja jihad

Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar-Rabei binti Muawwiz katanya:
"Kami bersama Nabi SAW merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah."

11) Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat

Antara suasana yang diharuskan, ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW keluar pada satu hari raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat Baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah, bersama baginda ialah Bilal.

12) Ikhtilat dalam suasana yang telah menjadi adat kebiasaan

Tersebut dalam kitab Muwatta' persoalan: "Adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan muhramnya?" Berkata Malik:"Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut." Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara. Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebagainya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab Islamiah.

<rujukan>

Mungkin hujah-hujah ini sudah cukup untuk mendatangkan ‘tahu’ dan menimbulkan ‘sedar’. Soalnya sama ada ‘mahu’ atau tidak.

Usahlah kita mahu mengadaptasi kisah Yahudi yang diperintahkan Allah supaya tidak menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka merasakan mereka bijak untuk memanipulasi arahan Allah dengan tidak menangkap ikan pada hari Sabtu akan tetapi mereka memerangkap ikan pada hari Jumaat dan memungutnya pada hari Ahad. Allah merakamkan kisah mereka yang akhirnya dijadikan kera yang hina. [Rujuk al-Baqarah: 65]

Renungan untuk para bijak pandai. Janganlah hukum Allah itu dimanipulasi semata-mata untuk menjustifikasi dan membenarkan tindakan kita.

Saya simpulkan post ini dengan sebuah hadith yang jelas maksudnya, buat renungan semua.

An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda, 'Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila seketul daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.'"

[HR. Bukhari]



Hayatilah lagu ini


Menjawab persoalan,

Abul Aa'la