Dari Abi Hurairah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam: Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan janganlah kamu bertipu-tipuan, dan janganlah kamu berbelakang-belakangkan, dan janganlah sebahagian kamu menjual di atas penjualan sebahagian daripada kamu dan jadilah kamu wahai hamba Allah yang bersaudara.

Orang Islam bersaudara dengan orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayainya, dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaannya), dan tidak boleh mendustainya, dan tidak boleh menghinanya.

Taqwa itu di sini *kata Nabi sambil menunjuk kedadanya tiga kali*
Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu, bahawa ia merendahkan saudaranya yang muslim. Sekelian orang Islam atas orang Islam haram darahnya dan hartanya dan kehormatannya.

~Riwayat Imam Muslim~

Hadith ini merupaka antara amanat terakhir Rasulullah s.a.w. kepada umat Islam. Ada sumber yang mengatakan hadith ini diucapkan sewaktu khutbah wida’. Di dalam hadith ini, Rasulullah mengajar umat Islam supaya mementingkan perpaduan dan mengamalkan adab-adab dan tatasusila terutama sekali sesame Muslim.

Perpaduan adalah salah satu intipati terbesar dalam Islam. Di dalam al-quran, terdapat banyak sekali ayat-ayat yang menggesa umat Islam supaya bersatu. Antaranya, dalam surah al-‘Imran: 103:

‘Dan berpegang teguhlah kamu semua pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai..’

Dan di dalam surah At-Taubah ayat ke 71, Allah menyebut:

‘Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi ‘awliya’ (setia atau penolong) bagi sebahagian yang lain.’

Terdapat banyak lagi ayat-ayat di dalam al-quran yang menyeru ke arah perpaduan, dan banyak juga ayat yang melarang perpecahan. Kita dapat melihat ayat-ayat ini dalam surah ali-Imran: 103, seperti yang disebut tadi.

Terdapat banyak juga hadis yang menyeru umat Islam supaya bersatu. Di dalam satu hadis yang direkod oleh Imam Muslim:

‘Sesungguhnya Allah menyukai 3 perkara untuk kamu dan mengharamkan 3 perkara untuk kamu. Dia menyukai kamu menyembahNya dan meleraikan segala perkara denganNya, kamu berpegang teguh pada tali Allah dan kamu tidak berpecah. Dan Dia tidak tidak menyukai bercakap-cakap kosong, terus-menerus bertanya, dan membazir kekayaan.’

Pengajaran:

Agama Islam adalah agama yang harmoni dan sangat mementingkan keamanan dan perpaduan sesame umat Islam. Terdapat banyak pengajaran yang dapat diambil secara terus dari hadis ini.

1. Jangan saling berdengki.

2. Jangan saling menipu.

3. Jangan saling membenci.

4. Jangan saling membelakangi.

5. Jangan menjual di atas penjualan orang lain.

Perkara-perkara yang dinasihati Nabi s.a.w. tersebut semuanya berkaitan dengan hak-hak seorang Muslim. Seorang Muslim mempunyai hak yang wajib ditunaikan oleh Muslim yang lain. Perkara-perkara yang diingatkan oleh Rasulullah s.a.w. ini merupakan antara penyakit hati yang sangat mudah untuk berlaku di dalam kehidupan seharian kita di mana jua. Justeru, biarpun kelihatan perkara kecil, Rasulullah mengingatkan umat Islam untuk menjaga perkara-perkara ini sebagai hak seorang Muslim.

Rasulullah s.a.w. menyambung nasihat baginda dengan bersabda:

‘Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara’

Hendaklah umat Islam saling bergaul dan memperlakukan orang lain seperti saudara dalam kecintaan, kasih sayang, keramahan, kelembutan dan tolong-menolong dalam kebaikan dengan hati ikhlas dan jujur dalam segala hal.

Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, maka tidak boleh menzaliminya, menelantarkannya, mendustanya dan menghinanya.

Inilah indahnya ajaran Islam. Rasulullah menekankan bahawa seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain. Agama Islam mempersaudarakan umatnya atas talian aqidah yang suci. Dan inilah dia talian yang diiktiraf oleh Allah di dalam al-quran.

Betapa Islam sangat menghargai harga dan nilai seorang Muslim. Menelantarkan di sini bermaksud tidak member bantuan dan pertolongan. Maksudnya, jika ia meminta tolong untuk melawan kezaliman, maka menjadi keharusan saudaranya sesame Muslim untuk menolongnya jika mampu dan tidak ada halangan syar’i.

Taqwa

Akhir sekali, setelah baginda mengingatkan tentang hak-hak dan adab-adab seorang Muslim, Rasulullah mengaitkan pula kesemua perkara ini dengan taqwa. Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita bahawa perkara yang membezakan seseorang dari seorang yang lain ialah taqwa. Orang yang paling mulia adalah orang yang bertaqwa kepada Allah, meskipun dipandang rendah oleh orang lain.

Nilai seorang Muslim

Harga seorang Muslim sangat tinggi dan tidak boleh diperkotak-katikkan orang lain. Setiap Muslim mempunyai hak dan wajib dihormati dan dijaga haknya. Islam sangat melarang seorang Muslim untuk merendah-rendahkan seorang Muslim yang lain.

Subhanallah.. Indahnya agama Islam.