Oleh: Abu Hamzah

Al-Imam Ibn Qayyim rah. (w. 751H) dalam salah sebuat hasil kerjanya yang terkenal, Madaarij al-Saalikeen, ada menyebut tentang beberapa perkara yang merosakkan iman seseorang. salah satu daripada yang beliau sebutkan ialah terlampau dalam bergaul dan berkawan.

Dalam maksud lain, Ibn Qayyim menyebutkan pergaulan dan sahabat kita boleh menjadi penyebab kepada rosaknya iman seseorang.

Untuk lebih memahami persoalan di atas, mungkin boleh dikatakan, sahabat kita boleh membawa kita ke neraka jika kita tidak bijak mengawal diri kita.

Seketika, saya terfikir, " Aih, bergaul pun bahaya? "

Persoalan timbul, mengapa?

Zaman ini, kita dilambakkan dengan pelbagai ruang, cara, tempat dan software yang membantu kita bergaul. Sms, e-mail, chatting , Facebook, Friendster dan sebagainya menjadi media di mana kita boleh secara berterusan berkomunikasi dengan kenalan kita.

Hanya Allah tahu betapa banyak mengumpat, fitnah-memfitnah dan perbualan kosong yang membuang masa berlaku. Merokok sambil bersembang kosong mengutuk ini dan itu satu norma. Tidak kurang juga hilangnya adab pergaulan dan akhlak dalam berbahasa. Hilang juga adab pergaulan antara lelaki dan wanita.

Kemudian, kekadang, terlalu lama masa yang kita habiskan untuk bersama dengan sahabat tersebut, walhal masa tersebut sekiranya kita digunakan dengan baik, akan dapat membawa banyak kebaikan pada diri sendiri mahupun orang sekeliling kita.

Kekadang pula, tempat kita habiskan masa pula tidak ada khair atau kebaikan di dalamnya. Walhal boleh jadi ia haram. Belum lagi diungkit trend terkini, berdating.

Di dalam surah al-Furqan, Allah menyebut:

Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? "Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! "Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)" 25:27-29

Sesungguhnya, ayat di atas merupakan satu peringatan yang penting untuk kita. Bahawa, sahabat kita boleh menjadi penyesalan terbesar kita di akhirat kelak. Nauzubillah.

Betapa ramai orang yang belajar menghisap dadah dari rakannya? Betapa ramai orang belajar berclubbing dengan rakannya? Betapa ramai orang cuai dari solat kerana aktiviti bersama kawannya? Tak lupa juga, betapa ramai remaja kita hari ini sering berdua-duaan dengan yang bukan mahram. Ya, mereka juga teman atau sahabat. Tidak ada keistimewaan pada pasangan kita melainkan setelah bernikah.

Maaf, membawa perumpamaan ini. Ajaib kadang kala, ramai menganggap anjing dan khinzir sebagai begitu jijik dan haram. Tidak terfikirkah hukum berdua-duaan sedemikian juga sama haram?

Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya.
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)


Dari Jabir bin Samurah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya.

( Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

Kadang-kala, terdapat juga sahabat yang menghalang seseorang daripada kebaikan atau berbuat baik. Bahkan perbuatan baik tersebut dianggap satu jenaka sehingga diperli dan dikutuk. perkataan-perkataan seperti " kau ingat kau baik sangat ke? " , " sejak bila ko jadi ustaz ni? " sering menjadi buah kelompok ini.

Teringat sirah Abu Talib, bapa saudara Rasulullah s.a.w.. Antara yang menghalangnya memeluk Islam adalah kerana risau dimarahi atau dituduh merosakkan agama nenek moyangnya oleh rakan-rakan pembesarnya yang lain di Makkah pada ketika itu.

Terdapat satu kata pepatah Arab yang berbunyi:

Qulli man tua’shir, aqullaka man anta ”


"Beritahu aku siapa sahabat kamu, aku akan beritahu siapa kamu"


Ya, sahabat kita adalah cermin terbaik untuk diri kita. Tidak mungkin seorang lelaki baik meilih seorang yang jahat sebagai temannya baiknya. Demikian juga dalam soal pemilihan calon pasangan hidup, tidak mungkin seorang pasangan yang baik akan sanggup memilih calon yang tidak baik.

"Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik" 24:26

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. menggambarkan seorang sahabat yang baik seperti minyak wangi yang harum lagi mengharumkan sekeliling:

“Sesungguhnya sahabat yang soleh itu umpama penjual minyak wangi. Jika kita tidak membeli darinya, tetap kita akan menghidu bau wangi darinya. Sedangkan sahabat yang jahat pula, umpama tukang besi. Walaupun tidak terkena percikan api, tetap kita merasai bahang panas dan terhidu bau busuk darinya”.




Seorang sahabat mestilah mampu memberitahu kita yang benar sekiranya kita melakukan keburukan. Dia mestilah menegur kita untuk kebaikan kita. Bukannya memberi pujian palsu kepada kita atau menipu kita.

Akahir sekali, di dalam surah al-Zukhruf pula, Allah memberi satu lagi peringatan:

" Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)." 43:67


Allah s.w.t. memberi gambaran tentang bagaimana sahabat-sahabat karib di dunia pada hari ini akan menjadi musuh kepada satu sama lain. Mereka tidak mahu mendekati dan mengenali antara satu sama lain. Mereka akan bertengkar menyalahkan satu sama lain. Mereka akan membenci satu sama lain. Kecuali golongan yang disebut Allah sebagai al-Muttaqin. yang bersahabat atas dasar iman dan amal soleh. yang menjamin agama dan kebaikan masing-masing. Yang mampu membimbing sahabatnya di dunia - sama ada dalam study, dalam masalah kewangan dan sebagainya - dan demi akhirat.





Selamat mencari golongan ini!